Pengenalan

YAYASAN MUKHRIZ ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang ditubuhkan pada 24 Julai 2019 oleh pengasasnya, YS. PPj. Bersekutu (PA) Mas Suhaizul Nizam Bin Zakaria, seorang aktivis masyarakat yang aktif
dalam pelbagai program kebajikan dan bantuan kemanusiaan, baik di dalam negara mahupun peringkat
serantau, khususnya di Selatan Thailand dan Aceh, Indonesia.

Kini, dengan pendekatan unik berteraskan konsep “Rakyat Menyumbang, Agensi Melaksana, Kebajikan Rakyat Terbela”, YAYASAN MUKHRIZ berperanan sebagai jambatan kepercayaan antara masyarakat dan agensi kerajaan, selari dengan aspirasi Malaysia Peduli yang inklusif dan bersepadu.

YAYASAN MUKHRIZ ditubuhkan dengan matlamat utama untuk melaksanakan pelbagai inisiatif amal dan kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia, terutamanya dalam aspek pendidikan, penjagaan golongan rentan, dan kebajikan awam. Antara tumpuan awal yayasan ini termasuklah membantu pelajar berpotensi daripada keluarga miskin, menyediakan sokongan kepada sekolah, pusat pendidikan, pusat jagaan OKU dan warga emas, serta mewujudkan tempat perlindungan untuk ibu tunggal dan gelandangan.

Pada masa yang sama, Yayasan Mukhriz turut mendukung usaha mewujudkan pengagihan kekayaan ekonomi yang lebih saksama, termasuk melalui kerjasama dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam menangani bencana alam, krisis kemanusiaan, dan aktiviti kesejahteraan sosial di seluruh negara.

Kini, selari dengan pendekatan baharu dan lebih tersasar, YAYASAN MUKHRIZ memberi tumpuan kepada pembekalan aset logistik kepada agensi kerajaan terpilih seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Inisiatif ini melibatkan penyediaan AMBULAN, KENDERAAN UTILITI PELBAGAI GUNA, KENDERAAN 4WD, VAN JENAZAH, VAN MAYAT, dan BOT PENYELAMAT sebagai medium bantuan yang disumbangkan oleh rakyat dan dikendalikan oleh agensi kerajaan, demi manfaat langsung kepada masyarakat.

Yayasan Mukhriz akan terus menjalin kerjasama strategik bersama masyarakat, sektor korporat dan agensi kerajaan untuk mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan dengan cara yang telus, berkesan dan berimpak tinggi, ke arah membentuk sebuah negara yang lebih prihatin dan sejahtera.

MISI

Menghubungkan amanah rakyat kepada agensi kerajaan dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk aset logistik penyelamat, bagi memperkasakan usaha penyelamatan, kebajikan dan kesejahteraan awam di Malaysia secara berkesan, telus dan berimpak tinggi.

VISI

Menjadi yayasan peneraju di Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dan agensi kerajaan melalui penyaluran sumbangan strategik, demi membina sebuah masyarakat yang lebih selamat, sejahtera dan bersatu.