Santuni Gelandangan

Program Santuni Gelandangan oleh Yayasan Mukhriz

Ketiadaan tempat tinggal bermaksud satu bentuk kemiskinan bandar dan boleh dikenal pasti apabila seseorang terpaksa untuk tinggal di penempatan tidak formal dalam keadaan hidup yang tidak elok disebabkan perubahan dalam hidup mereka yang berlaku secara tiba-tiba”

Sebut saja gelandangan, pastinya terbayang-bayang susuk tubuh yang sering menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di tepi jalan sekitar ibu negara. Pemandangan yang sudah di anggap biasa dalam kalangan warga kota itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia dikesan bermula sejak tahun 1980-an lagi selari dengan proses penghijrahan masyarakat ke bandar bagi mencari pekerjaan.

Memang benar, bukan semua orang meminta untuk menjadi sebahagian daripada golongan itu. Ada yang sudah dibuang keluarga, tidak kurang juga berpaksikan kisah sedih angkara kehilangan sumber rezeki meskipun sudah acap kali cuba bangkit memburu sinar hidup baharu selepas kehilangan pekerjaan. Perlu diketahui bahawa selain masalah umur sesetengah gelandangan yang sudah lanjut, ada dalam kalangan gelandangan mempunyai masalah kesihatan yang menyukarkan mereka untuk bekerja.

Statistik rasmi Malaysia mendedahkan bahawa jumlah gelandangan telah meningkat secara ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini terutama sejak pandemik Covid bermula. Isu gelandangan kini telah menjadi satu masalah nasional, warga kota yang menjadi gelandangan dianggarkan telah meningkat sebanyak 20-30 peratus daripada tahun-tahun sebelum penularan wabak tersebut. Jabatan Kebajikan Masyarakat menganggarkan terdapat lebih 20,000 gelandangan di seluruh negara dengan kini lebih 3,000 gelandangan berkeliaran di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Amat menyedihkan apabila didapati 90% populasi gelandangan tersebut terdiri daripada rakyat Malaysia, manakala hanya 10% merupakan orang asing.

Pemerhatian wakil YAYASAN MUKHRIZ di beberapa lokasi hotspot gelandangan seperti Pasar Seni, Lebuh Pudu dan Terminal Bas Kota Raya tidak dipersiakan dengan mendengar sendiri permasalahan dan luahan isi hati para gelandangan. Tidak betah memandang sahaja, maka Yayasan Mukhriz telah merangka suatu program berkala bagi meringankan kesukaran dihadapi oleh gelandangan ini.

 

PROGRAM SANTUNI GELANDANGAN adalah sebuah program perkongsian makanan dan kit kebersihan diri, menyasarkan kumpulan gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur.  Terdapat 3 lokasi telah dikenalpasti sesuai bagi penganjuran program ini iaitu di  Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah YKN Kuala Lumpur. Pihak Yayasan telah menghubungi agensi-agensi berkaitan bagi penyelarasan program ini dan telah disambut baik, malah ditawarkan bantuan sukarelawan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Negara.

Tiada warga Malaysia seharusnya hidup sebagai gelandangan.  Mereka mempunyai hak asasi dan harus diberikan sokongan kemanusiaan yang sewajarnya daripada masyarakat dan  bantuan modal insan daripada kerajaan untuk mampu menyara hidup sendiri.

Hadirnya kita bersama Yayasan Mukhriz dapat memberi harapan kepada mereka bahawa kita akan terus membantu dan berusaha memastikan mereka tidak akan terus tersisih dari arus kemodenan negara. 

Dari Malaysia, kepada Malaysia. Kita peduli.

Berita Aktiviti Yang Berkaitan:

Program Santuni Gelandangan