Perutusan

Perutusan – YAYASAN MUKHRIZ (YM) memulakan langkah pertamanya dalam merangka perjalanan panjang untuk merealisasikan harapan dan aspirasi kami dalam membantu mereka yang memerlukan. Bersama-sama para Pemegang Amanah, Ahli Kepimpinan dan rakan kongsi perniagaan, kami percaya bahawa permulaan langkah kecil pertama ini akan seiring berlari dan bakal menjadi satu lompatan gergasi suatu hari kelak.

Yakini ianya menjadi kenyataan.

PENYAMBUNG JURANG

YAYASAN MUKHRIZ memainkan peranan sebagai platform yang merapatkan jurang antara sektor swasta dan masyarakat dengan mereka yang miskin dan kurang bernasib baik.

Fokus utama kami adalah kebajikan pelajar berpotensi di peringkat pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah, yang menghadapi kesulitan dalam mengejar pengiktirafan pelajaran mereka disebabkan latar belakang keluarga yang miskin. Kami percaya bahawa pelajar-pelajar ini boleh mengubah nasib diri dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka apabila berjaya dalam pelajaran.

YAYASAN MUKHRIZ juga banyak menjalankan aktiviti membantu pusat-pusat kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat kanak-kanak istimewa, dan pusat-pusat kesejahteraan lain yang memerlukan sokongan kewangan atau sukarelawan. Kami juga sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang terjejas oleh bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Langkah seterusnya adalah penganjuran lebih banyak aktiviti komuniti dengan program jangka pendek dan panjang yang ditumpukan kepada golongan miskin dan entiti-entiti yang memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Ini termasuk beberapa program yang telah dirangka oleh pasukan pengurusan dan yang sedang dijalankan kumpulan Ahli Kepimpinan dengan dibantu sukarelawan seperti program 100 Masjid 100 Van Jenazah, program Santuni Gelandangan (ibu kota Kuala Lumpur) dan program Anak Angkat Yatim Piatu.

Di sini kami ingin mengambil peluang menyatakan ucapan ribuan terima kasih kepada rakan kongsi perniagaan dan para penyumbang kami kerana dengan bantuan daripada andalah, kami dapat mengerakkan YAYASAN MUKHRIZ dalam memenuhi misi dan visinya.

Ikhlas Daripada,

PengerusiYAYASAN MUKHRIZ