Perutusan

Perutusan

YAYASAN MUKHRIZ (YM) memulakan langkah pertamanya dalam merangka perjalanan panjang untuk merealisasikan harapan dan aspirasi kami dalam membantu mereka yang memerlukan. Bersama para Pemegang Amanah, Ahli Kepimpinan dan rakan kongsi strategik, kami percaya bahawa setiap langkah kecil yang kami ambil hari ini akan membawa kepada lompatan yang besar dalam mencorakkan masa depan yang lebih adil dan sejahtera untuk rakyat Malaysia.

Memacu Amanah, Menyempurnakan Harapan

JAMBATAN KEPERCAYAAN

Seiring perubahan landskap sosial dan keperluan masyarakat, YAYASAN MUKHRIZ kini mengorak langkah baharu sebagai sebuah platform amanah rakyat yang merapatkan jurang antara masyarakat dan agensi kerajaan, khususnya melalui penyaluran sumbangan dalam bentuk aset logistik seperti Ambulan, Kenderaan 4WD, Van Jenazah, Van Mayat, Kenderaan Utiliti dan Bot Penyelamat kepada agensi pelaksana seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pendekatan ini kami yakini lebih telus, berimpak tinggi dan menjamin bantuan sampai terus kepada rakyat melalui pelaksanaan rasmi agensi kerajaan dalam bentuk khidmat penyelamatan dan kebajikan awam.

Meskipun halatuju kami kini lebih tersasar dan fokus, YAYASAN MUKHRIZ tetap tidak melupakan komitmen terdahulu dalam memperjuangkan akses pendidikan berkualiti bagi pelajar berpotensi daripada keluarga kurang berkemampuan, serta bantuan kepada pusat kebajikan, rumah anak yatim, rumah orang tua dan komuniti rentan yang memerlukan sokongan moral, material dan tenaga sukarelawan.

Kami turut menyantuni komuniti yang terjejas akibat bencana seperti banjir dan tanah runtuh, serta menjalin kerjasama rapat dengan NGO tempatan dalam inisiatif kesejahteraan sosial.

Bagi pihak Yayasan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang, rakan kongsi perniagaan dan individu budiman yang telah meletakkan kepercayaan dan sokongan kepada misi kami. Tanpa anda, usaha kami tidak akan sampai sejauh ini. Doakan agar YAYASAN MUKHRIZ terus menjadi jambatan amanah rakyat, untuk manfaat rakyat seluruhnya.

Ikhlas Daripada,

PengerusiYAYASAN MUKHRIZ
PPj. BERSEKUTU (PA) YS. MAS SUHAIZUL NIZAM BIN ZAKARIA