Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana Banjir Luar Jangka Pulau Pinang
SEBERANG PERAI – Selasa, 7 November 2017
Hujan lebat luar jangka yang berterusan sejak Sabtu, 4 November lalu, ditambah dengan fenomena kemuncak air pasang, telah menyebabkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan sebanyak 250 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam direkodkan, jauh melebihi kategori hujan amat lebat iaitu 150 mm sehari. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyifatkan kejadian tersebut sebagai bencana luar jangka.
Atas dasar keprihatinan, Yayasan Bumiputera Pertiwi yang diterajui oleh Pengarah Kebajikan Yayasan, Dato’ Mas Suhaizul Nizam Bin Zakaria, bersama Ketua Biro Amal Yayasan, En. Arizuan bin Mat Arif, telah turun ke pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah. Misi ini turut disokong oleh Pasukan Amal Yayasan serta lebih 10 orang sukarelawan Persatuan Amal Datuk Bahrin Rafie.
Sebanyak 300 kotak bekalan makanan telah diagihkan kepada mangsa banjir. Yayasan juga mengupah perkhidmatan katering selama dua hari bagi keperluan sukarelawan dan anggota penyelamat, melibatkan peruntukan RM25,000.00.