SEBERANG PERAI – Selasa, 7 November 2017
Hujan dengan kuantiti yang banyak di luar jangka ditambah dengan kemuncak air pasang menjadi faktor utama banjir melanda Pulau Pinang sejak Sabtu 4 November lalu. Mengikut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan yang turun sebanyak 250 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam melebihi kategori hujan amat lebar iaitu 150 mm sehari. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah bencana di luar jangka.
Atas dasar keprihatinan, Yayasan Bumiputera Pertiwi yang diterajui oleh Pengarah Kebajikan Yayasan, Dato’ Mas Suhaizul Nizam Bin Zakaria dan Ketua Biro Amal Yayasan, En. Arizuan Bin Mat Arif telah berada di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, bersama Pasukan Amal Yayasan dan dibantu lebih 10 sukarelawan Persatuan Amal Datuk Bahrin Rafie.
Sebanyak 300 kotak bekalan makanan telah disampaikan secara terus kepada mangsa-mangsa banjir. Yayasan juga telah mengupah penyedia perkhidmatan katering selama 2 hari untuk para sukarelawan dan anggota-anggota penyelamat bertugas. Peruntukan terlibat adalah RM25,000.00.
Jurucakap bomba berkata, lebih banyak pusat pemindahan dibuka sejak tengah malam tadi untuk menempatkan penduduk yang terjejas seperti di Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang, Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, SK Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.