Bantuan Awal Persekolahan Yayasan Mukhriz di Sungai Buloh dan Selayang
SUNGAI BULOH – Jumaat, 3 Mac 2023
Berinspirasikan pembentangan bajet penyaluran bantuan kepada sekolah dan pelajar melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Mukhriz telah merangka dan melaksanakan Program Bantuan Awal Persekolahan bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Penyelaras program, saudara Adam Mukhriz Bin Mas Suhaizul Nizam, memaklumkan bahawa seramai 200 orang pelajar telah dikenal pasti dan dipilih daripada senarai yang diterima daripada sekolah-sekolah di sekitar Sungai Buloh dan Selayang. Setiap pelajar akan menerima bantuan tunai sebanyak RM150.00 bermula 13 Mac 2023 menerusi program Bantuan Awal Persekolahan Yayasan Mukhriz.
Program ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30,000.00 dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha Yayasan Mukhriz dalam menyokong akses pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga pada peringkat awal sesi persekolahan.
Inisiatif ini turut dilaksanakan mewakili kepimpinan Yayasan Mukhriz yang diterajui oleh YS. PPj. Bersekutu (PA) Mas Suhaizul Nizam Bin Zakaria, selaras dengan komitmen berterusan Yayasan dalam memperkukuh kebajikan pendidikan masyarakat.
Yayasan Mukhriz berharap agar bantuan tunai ini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa sempena permulaan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada 20 Mac 2023.
